Sunat Memakai Baju Baru Hari Raya


Islam telah memberikan beberapa garis panduan yang sewajarnya menjadi amalan umat Islam dalam menghadapi kemeriahan berhari raya. Antara amalan sunat yang dianjurkan untuk menjadi amalan menjelang hari raya ialah:
  1. Bertakbir dan bertahmid kepada Allah bermula dari waktu terbenam matahari malam hari raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang hari raya. Firman Allah : "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur" (Surah al-Baqarah :185) 
  2. Mandi sunat di pagi hari raya 
  3. Memakai pakaian baru atau bersih 
  4. Memakai wangi-wangian dan menghilangkan segala bau yang tidak elok 
  5. Memohon kemaafan dan keampunan kepada dua ibubapa, suami atau isteri dan ahli keluarga yang lain 
  6. Makan sedikit sebelum ke masjid dan melalui jalan yang berbeza untuk pergi dan pulang dari masjid 
  7. Solat Sunat Hari Raya 
  8. Ziarah menziarahi dan sebagainya. Ketika sedang gembira berhari raya, jangan dilupa pada golongan yang memerlukan Amalan bersedekah merupakan cara terbaik sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Selain daripada itu, dalam kesibukan membuat persiapan menghadapi hari raya , perlu dielakkan campuraduk antara amalan-amalan yang baik dengan perkara yang ditegah. Di antaranya pembaziran dalam penyediaan makanan dan minuman. 
Selain itu, percampuran di antara lelaki dan perempuan secara bebas di dalam sesuatu majlis perlu dielakkan daripada berlaku. Perkara-perkara maksiat yang ditegah oleh syara' mestilah dijauhi dan janganlah melakukan perlanggaran batas-batas agama.

Umat Islam juga perlulah menjaga adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara. Di antaranya ialah dengan memilih waktu yang sesuai untuk berziarah. Apa yang diharapkan, hari raya bukan semata-mata hari untuk bergembira tetapi yang lebih penting dan utama ialah mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.

Sumber: http://www.al-azim.com

ShareThis